MOHON DOA DITUTUPI KEAIBAN DIRI
Daripada Anas bin Malik RA, sabda Rasulullah SAW:
"Mohonlah kepada Allah agar ditutupkan keaiban diri kalian dan aman daripada rasa takut."
(Sahih al-Jami', 3633)
SEDIKIT LEBIH BAIK
Daripada Fadlalah bin 'Ubaid, ketika Rasulullah SAW solat bersama orang ramai, beberapa orang jatuh tersungkur saat berdiri dalam solat kerana lapar, mereka adalah para penghuni serambi masjid hinggakan orang-orang Badwi berkata, "Mereka itu orang-orang gila."
Seusai solat, Rasulullah SAW menghampiri mereka lalu bersabda, "Andai kalian mengetahui bahagian milik kalian di sisi Allah, nescaya kalian akan suka untuk lebih miskin dan susah."
(HR al-Tirmizi, 2291)
SUNNAH SESEKALI BERKAKI AYAM
Daripada Abdullah bin Buraidah RA, daripada seorang sahabat yang mengunjungi Fadhalah bin Ubaid di Mesir, ketika Fadhalah bertanya kepadanya mengapa ia berkaki ayam?
Ia menjawab, "Nabi SAW memerintahkan untuk berjalan dengan tanpa alas kaki sesekali."
(Sahih Abu Daud, 4160)
REZEKI AKAN SAMPAI TEPAT PADA WAKTUNYA
Daripada Jabir bin Abdillah RA, sabda Rasulullah SAW:
"Jika seandainya anak Adam lari daripada rezekinya sebagaimana ia lari daripada kematian. Pasti dia akan menemui rezekiĀ tersebut sebagaimana kematian akan menjemputnya."
(Sahih al-Jami', 5240)
BERTERUSAN DALAM KEADAAN SUCI DAN ZIKIR PENYEBAB DOA DIMAKBULKAN
Daripada Muaz bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Tidaklah seorang Muslim itu tidur dalam keadaan berzikir dan suci, lalu ia terjaga pada waktu malam dan berdoa kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan memustajabkannya."
(HR Abu Daud, 4385)
Daripada Zubair bin al-'Awwam RA, Nabi SAW bersabda:
"Sekiranya salah seorang daripada kalian yang mengambil talinya, lalu pergi ke gunung mencari seikat kayu bakar, kemudian dia menjualnya, memakan hasilnya dan bersedekah. Hal tersebut lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada manusia."
(HR. Ibn Majah, 1826)
MEMBUAT HUTANG TETAPI BERNIAT TIDAK MAHU MELUNASINYA
Daripada Shuhaib al-Khair RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa sahaja yang berhutang dan ia merancang untuk tidak membayarnya kepada pemiliknya, maka ia akan menjumpai Allah dengan status sebagai seorang pencuri."
(HR. Ibn Majah, 2401)
TABIAT DUNIA
Muawiyah bin Abi Sufyan RA berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda,
"Tidak akan ada yang tersisa dari dunia ini, melainkan cubaan dan fitnah."
(HR. Ibn Majah 4035, Sahih Ibn Majah 3276)
TANDA ALLAH MENGINGINKAN KEBAIKAN PADA SESEORANG
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Dia akan menggunakannya."
Lalu ditanyakan pada baginda, "Bagaimanakah Allah menggunakannya wahai Rasulullah?"
Jawab baginda, "Dia akan memberinya taufiq (kekuatan) untuk beramal soleh sebelum dijemput kematian."
(HR. al-Tirmizi, 2142)